Ketahui 7 Cara Wajib Semak Ejen Hartanah Berdaftar atau Palsu!

01/10/2026
9 min baca

Pembeli, penjual, penyewa dan pemilik rumah kini mudah bertemu individu yang mengaku sebagai ejen hartanah, terutamanya melalui iklan dalam talian dan WhatsApp.

Sebelum membuat bayaran, menyerahkan dokumen atau menandatangani sebarang perjanjian hartanah, semak dahulu sama ada individu yang berurusan dengan anda benar-benar berdaftar.

Cara menyemak ejen hartanah sah di Malaysia ialah dengan mendapatkan nombor REN, REA atau PEA individu tersebut dan membuat semakan melalui portal rasmi LPEPH (dahulu dikenali sebagai LPPEH).

Padankan nama, nombor pendaftaran dan firma hartanah, kemudian pastikan status pendaftaran masih aktif sebelum meneruskan transaksi.

Konten

Cara Menyemak Ejen Hartanah Sah di Malaysia

Cara paling mudah untuk menyemak sama ada seseorang ejen atau perunding hartanah sah di Malaysia adalah melalui portal rasmi Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH).

Minta nombor pendaftaran seperti REN, PEA atau REA daripada individu tersebut terlebih dahulu, kemudian buat semakan melalui portal rasmi LPEPH.

Cara semak ejen hartanah secara online

  1. Minta nombor pendaftaran ejen atau perunding - Sebelum meneruskan urusan, minta individu tersebut memberikan nombor pendaftaran mereka, contohnya nombor REN bagi Real Estate Negotiator.
  2. Layari portal rasmi BIS LPEPH - Pergi ke portal Board Information System (BIS) LPEPH dan pilih jenis carian yang berkaitan seperti Search for Negotiator, Search for Member atau Search for Firm.
  3. Masukkan nombor REN atau nama individu - Untuk semakan REN, anda boleh mencari menggunakan nombor REN atau maklumat individu yang berkaitan.
  4. Pastikan maklumat sepadan - Semak sama ada nama, nombor pendaftaran dan firma hartanah yang dipaparkan sama dengan maklumat yang diberikan kepada anda.
  5. Periksa status pendaftaran - Jangan hanya pastikan nama ejen wujud dalam sistem. Semak juga sama ada status pendaftaran mereka masih aktif.

Jika maklumat yang diberikan oleh individu tersebut tidak sepadan dengan rekod rasmi, atau anda tidak dapat mengesahkan pendaftaran mereka, elakkan membuat bayaran atau menandatangani dokumen sehingga pengesahan lanjut dibuat.

Cara Paling Cepat Semak Ejen Hartanah
Minta nombor REN, PEA atau REA → buka portal rasmi BIS LPEPH → cari nombor atau nama → padankan nama dan firma → pastikan status masih aktif.

Ringkasnya: sebelum berurusan dengan mana-mana ejen hartanah, semak nombor pendaftaran, firma dan status mereka melalui portal rasmi LPEPH terlebih dahulu.

Belum ada perunding? Anda boleh berhubung dengan perunding IQI dan menyemak sendiri nombor pendaftaran mereka di portal LPEPH sebelum memulakan urusan.

Apa Beza REN, PEA dan REA?

LPEPH ialah lembaga berkanun di bawah Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981 (Akta 242). Lembaga ini menyelenggara daftar rasmi ejen harta tanah, firma dan perunding hartanah.

Setiap kategori mempunyai format nombor pendaftaran yang berbeza, jadi nombor itu sendiri sudah memberitahu anda dengan siapa anda berurusan.

Perkara

REN

PEA

REA

Nama penuh

Real Estate Negotiator (Perunding Hartanah)

Probationary Estate Agent (Ejen Harta Tanah Percubaan)

Registered Estate Agent (Ejen Harta Tanah Berdaftar)

Contoh format nombor

REN 12345

PEA 1234

E 1234

Kedudukan

Berdaftar melalui firma dan bekerja di bawah firma tersebut

Menjalani latihan praktikal di bawah ejen harta tanah berdaftar

Telah memenuhi kelayakan profesional LPEPH

Boleh buka firma sendiri?

Tidak

Tidak

Ya, dengan kuasa menjalankan amalan

Tempat semakan

Portal BIS LPEPH

Portal BIS LPEPH

Portal BIS LPEPH

Firma ejen harta tanah pula mempunyai nombor pendaftaran sendiri, contohnya E (1) 1234. Nombor ini sepatutnya tertera pada iklan dan dokumen firma.

Untuk penjelasan lanjut tentang peranan dan laluan setiap kategori, baca perbezaan antara perunding hartanah (REN) dengan ejen hartanah (REA).

7 Cara Semak Ejen Hartanah Sah atau Palsu

Semakan portal ialah langkah utama. Enam langkah seterusnya membantu anda memastikan individu di hadapan anda benar-benar pemilik rekod tersebut.

1. Semak nombor REN, REA atau PEA melalui portal LPEPH

Setiap REN, PEA dan REA yang berdaftar mempunyai nombor pendaftaran yang unik. Inilah rujukan paling penting kerana ia datang terus daripada daftar rasmi LPEPH.

Minta nombor tersebut secara bertulis, contohnya melalui WhatsApp, sebelum anda bertemu. Kemudian semak ejen atau perunding hartanah melalui portal rasmi LPEPH.

Perunding yang sah tidak sepatutnya keberatan memberikan nombor mereka. Keengganan memberikan nombor pendaftaran ialah tanda amaran yang jelas.

2. Pastikan status pendaftaran masih aktif

Nama seseorang yang pernah didaftarkan tidak semestinya bermaksud status mereka masih aktif hari ini. Pastikan rekod rasmi menunjukkan status semasa yang aktif sebelum meneruskan urusan.

Ini penting kerana REN Tag perlu diperbaharui setiap tahun. Tag fizikal boleh kelihatan sah walaupun pendaftaran pemiliknya sudah tamat.

LPEPH juga menerbitkan notis pemotongan nama daripada daftarnya dari semasa ke semasa. Oleh itu, status di portal ialah rujukan muktamad, bukan tag yang dipakai.

3. Padankan nama individu dengan firma hartanah

Penipu kadangkala menyamar sebagai perunding sebenar dan menggunakan nama serta nombor REN mereka. Sebab itu, semakan perlu memadankan individu dengan rekod, bukan sekadar nombor.

Semak empat perkara ini dalam rekod rasmi:

  • nama penuh;
  • nombor REN, PEA atau REA;
  • firma ejen harta tanah berdaftar;
  • status pendaftaran semasa.

Jika individu mendakwa mewakili sebuah agensi tertentu, pastikan nama firma dalam rekod rasmi sama dengan firma yang dinyatakan pada iklan, WhatsApp, kad perniagaan atau profil mereka.

Anda juga boleh mencari firma itu di portal BIS LPEPH, kemudian menghubungi pejabatnya untuk pengesahan. Gunakan nombor telefon yang anda cari sendiri, bukan nombor yang diberikan oleh individu tersebut.

4. Semak tag pengenalan rasmi

Image source: MyRealAgents

Ketika berurusan, perunding sepatutnya memakai tag pengenalan yang dikeluarkan oleh LPEPH, bukan sekadar tag nama syarikat.

Tag rasmi memaparkan nama, gambar, nombor pendaftaran, nama dan nombor pendaftaran firma, kod QR serta ciri keselamatan.

Warna tag berbeza mengikut kategori, iaitu biru bagi REA, merah bagi PEA dan ungu bagi REN.

Warna tag sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan seseorang ejen atau perunding hartanah. Sentiasa semak nombor pendaftaran dan status mereka melalui portal rasmi LPEPH.

Jika individu tersebut tidak memakai tag dan memberi alasan tag tertinggal atau masih diproses, minta nombor pendaftaran mereka dan semak di portal. Jangan teruskan urusan sehingga semakan selesai.

5. Imbas kod QR pada tag

Tag rasmi mempunyai kod QR yang memaparkan rekod pemegangnya apabila diimbas. Gunakannya sebagai semakan tambahan ketika bertemu secara bersemuka.

Selepas mengimbas, pastikan halaman yang terbuka ialah laman rasmi LPEPH dengan alamat berakhir .gov.my. Tag palsu boleh membawa kod QR palsu yang membuka laman tiruan.

Bandingkan juga gambar dan nama pada rekod dengan individu di hadapan anda. Keputusan akhir tetap perlu dipadankan dengan maklumat dalam sistem rasmi LPEPH.

6. Periksa maklumat pada iklan hartanah

Iklan hartanah oleh perunding yang sah lazimnya memaparkan maklumat berikut:

  • nama firma dan nombor pendaftaran firma;
  • nama REN, PEA atau REA yang bertanggungjawab;
  • nombor pendaftaran individu tersebut;
  • nombor telefon perunding dan nombor telefon pejabat firma.

Semak sama ada maklumat ini sama di semua saluran, termasuk portal hartanah, media sosial, WhatsApp, kad perniagaan dan profil agensi.

Jika nama, firma atau nombor pendaftaran yang digunakan dalam iklan tidak sepadan dengan rekod rasmi, buat semakan lanjut sebelum memberi wang atau dokumen peribadi.

Sedang membandingkan iklan di pelbagai platform? Lihat senarai laman web hartanah di Malaysia yang paling dipercayai.

7. Kenal pasti red flags sebelum membuat bayaran

Berhenti dan buat semakan lanjut jika anda menemui mana-mana tanda berikut:

  • enggan memberikan nombor REN, PEA atau REA;
  • nombor pendaftaran tidak ditemui dalam portal LPEPH;
  • maklumat firma tidak sepadan dengan rekod rasmi;
  • mendesak anda membuat bayaran dengan segera;
  • meminta bayaran ke akaun peribadi atau akaun yang tiada kaitan dengan firma;
  • meminta deposit sebelum anda sempat melihat hartanah;
  • meminta fi profesional melebihi had maksimum 3% daripada harga jualan;
  • maklumat identiti berbeza antara iklan, tag dan perbualan;
  • iklan yang kelihatan disalin, atau harga yang terlalu rendah berbanding pasaran.

Satu peraturan mudah: jangan pindahkan wang urus niaga ke akaun peribadi perunding. Perunding yang sah tidak akan memintanya.

Bagi urusan bersama perunding IQI, semua bayaran hendaklah dibuat ke akaun rasmi IQI Realty Sdn Bhd. Jika ragu-ragu, sahkan dengan IQI melalui halaman maklum balas rasmi sebelum membuat bayaran.

Jika maklumat tidak dapat disahkan, tangguhkan pembayaran atau tandatangan dokumen sehingga identiti dan firma individu tersebut dapat disahkan.

Apa Perlu Dilakukan Jika Ejen Tidak Dapat Disahkan?

Jika nombor tidak ditemui, maklumat tidak sepadan atau anda masih ragu-ragu, ikuti langkah berikut mengikut urutan.

  1. Tangguhkan bayaran dan tandatangan. Jangan pindahkan wang atau tandatangani borang tawaran sehingga status individu tersebut disahkan.
  2. Sahkan terus dengan firma. Hubungi firma menggunakan nombor pejabat yang anda cari sendiri, dan tanya sama ada individu itu memang berdaftar di bawah mereka.
  3. Buat aduan kepada LPEPH. Kumpulkan bukti seperti tangkapan skrin iklan dan perbualan, nombor telefon, resit, serta tarikh dan lokasi. Hantar melalui saluran e-aduan di portal BIS LPEPH, atau hubungi LPEPH di +603-2288 8815/16/17 atau info@lpeph.gov.my.
  4. Jika wang sudah dipindahkan, bertindak segera. Hubungi bank anda serta-merta, kemudian hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan buat laporan polis.

Kesimpulan: Semak Dahulu, Kemudian Baru Berurusan

Semakan beberapa minit sebelum membuat bayaran boleh membantu anda memastikan bahawa individu yang mengendalikan transaksi hartanah mempunyai maklumat pendaftaran yang boleh disahkan.

Langkahnya ringkas: minta nombor pendaftaran, semak di portal BIS LPEPH, padankan nama dan firma, dan pastikan status masih aktif.

Undang-undang juga melindungi anda. Di bawah Akta 242, menjalankan kerja ejen harta tanah tanpa pendaftaran ialah satu kesalahan yang boleh membawa denda sehingga RM300,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Soalan Lazim Tentang Semakan Ejen Hartanah

Bagaimana cara semak nombor REN online?

Anda boleh membuat semakan melalui portal Board Information System (BIS) LPEPH. Masukkan nombor REN atau maklumat individu, kemudian pastikan nama, firma serta status pendaftaran sepadan.

Di mana boleh semak ejen hartanah berdaftar di Malaysia?

Semakan boleh dibuat melalui portal rasmi LPEPH di bis.lpeph.gov.my, yang menyediakan carian bagi perunding (REN), ejen harta tanah dan firma.

Apakah maklumat yang perlu diperiksa selepas jumpa nombor REN?

Semak sekurang-kurangnya empat perkara: nama penuh, nombor REN, nama firma hartanah dan status pendaftaran semasa. Pastikan keempat-empatnya sepadan dengan individu yang berurusan dengan anda.

Apa perlu buat jika nombor REN tidak ditemui?

Jangan teruskan pembayaran atau tandatangan dokumen sehingga identiti dan status individu tersebut dapat disahkan melalui firma hartanah berkaitan atau saluran rasmi LPEPH. Aduan juga boleh dibuat melalui e-aduan LPEPH.

Adakah tag REN sahaja cukup untuk membuktikan seseorang itu sah?

Tidak. Tag boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk, tetapi nombor pendaftaran dan status semasa masih perlu disemak melalui sistem rasmi LPEPH.

Apakah beza LPEPH, LPPEH dan BOVAEP?

Ketiga-tiganya merujuk kepada Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta. LPEPH ialah akronim semasa, LPPEH ialah akronim lama, dan BOVAEP ialah nama dalam bahasa Inggeris.

Sedang mencari hartanah untuk dibeli, dijual atau disewa? Berurusanlah dengan perunding yang boleh anda semak sendiri.

Setiap perunding IQI mempunyai nombor pendaftaran yang boleh disahkan di portal LPEPH, dan semua bayaran disalurkan ke akaun rasmi firma.

Isi maklumat di bawah untuk berhubung dengan perunding IQI di kawasan anda.

[custom_blog_recruit_form]

Bacaan berkaitan:

Bersedia untuk Mencari Hartanah Sempurna Anda?

IQI Global memahami pasaran hartanah dengan mendalam. Kami bukan sekadar ejen — kami adalah pemandu yang membantu anda memahami potensi pelaburan, manfaat gaya hidup, dan nilai jangka panjang.

Pilih lokasi anda

Dapatkan Maklumat Eksklusif

Langgan e-mel kami untuk mengetahui tentang pandangan pasaran terkini, berita dan trend hartanah.

Kongsi blog

Langgan surat berita kami

Langgan e-mel kami untuk mengetahui tentang pandangan pasaran terkini, berita dan trend hartanah.