6 Cukai Hartanah di Malaysia untuk Pembeli Rumah

Membeli rumah melibatkan lebih daripada sekadar membayar harga rumah, bayaran pendahuluan dan kos pengubahsuaian.
Selain nilai hartanah itu sendiri, terdapat beberapa kos lain yang perlu diambil kira!
Antaranya termasuk jenis cukai hartanah yang memainkan peranan penting dalam memastikan transaksi dilakukan secara sah dan selamat.
Untuk membantu anda bersedia, berikut adalah cukai hartanah utama yang perlu diketahui oleh pembeli rumah di Malaysia.
Rinkasan Pantas
- Malaysia tiada cukai hartanah tahunan berasaskan nilai pasaran seperti sesetengah negara lain. Yang ada hanya cukai taksiran dan cukai tanah yang jauh lebih rendah.
- Semasa beli: duti setem MOT 1% hingga 4%, dan duti setem perjanjian pinjaman 0.5%.
- Semasa memiliki: cukai taksiran kepada PBT dua kali setahun, dan cukai tanah atau cukai petak kepada pejabat tanah negeri sekali setahun.
- Semasa jual: RPGT 0% untuk warganegara dan PR selepas tahun ke-5.
- Pembeli rumah pertama yang layak boleh bayar RM0 duti setem untuk hartanah RM500,000 dan ke bawah, jika SPA ditandatangani antara 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
Memahami Kos Pemilikan Hartanah
- Rinkasan Pantas
- 1. Duti Setem Pemindahan Milikan (MOT)
- 2. Duti Setem Perjanjian Pinjaman
- 4. Cukai Tanah dan Cukai Petak
- 5. Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT)
- 6. Cukai Pendapatan Sewa
- Ringkasan: cukai mengikut peringkat pemilikan
- Soalan Lazim (FAQ)

1. Duti Setem Pemindahan Milikan (MOT)
Apakah itu MOT dan bila anda perlu bayar?
MOT atau Memorandum of Transfer (Borang 14A) ialah dokumen yang memindahkan hak milik hartanah daripada penjual kepada nama anda di pejabat tanah. Duti setem MOT dibayar kepada kerajaan sekali sahaja, iaitu apabila pemilikan hartanah dipindahkan secara rasmi.
Jumlah duti setem bergantung kepada harga hartanah. Semakin tinggi harga, semakin tinggi jumlah yang perlu dibayar. Penting untuk diingat: LHDN mengira duti berdasarkan harga belian atau nilai pasaran, mengikut mana yang lebih tinggi.
Kadar duti setem MOT bagi warganegara Malaysia (2026)
Harga Rumah | Kadar Duti Setem |
|---|---|
RM100,000 pertama | 1% |
RM100,001 hingga RM500,000 | 2% |
RM500,001 hingga RM1 juta | 3% |
Melebihi RM1 juta | 4% |
Kadar berperingkat ini tidak berubah pada 2026. Setiap lapisan harga dikenakan kadarnya sendiri, bukan satu kadar rata untuk keseluruhan harga.
Contoh pengiraan untuk rumah berharga RM750,000
(RM100,000 pertama × 1%) + (RM400,000 berikutnya × 2%) + (baki RM250,000 × 3%)
RM1,000 + RM8,000 + RM7,500 = RM16,500
Jumlah ini belum termasuk duti setem perjanjian pinjaman sebanyak 0.5% daripada jumlah pinjaman, yuran guaman, dan kos pengeluaran. Sediakan bajet yang realistik lebih awal, kerana ramai pembeli kali pertama kehabisan tunai antara pembayaran deposit dan tarikh penyelesaian.
Pembeli bukan warganegara: kadar rata 8% mulai 1 Januari 2026
Berkuat kuasa 1 Januari 2026, pembeli bukan warganegara dan syarikat milik asing dikenakan duti setem rata 8% ke atas nilai hartanah kediaman, naik daripada 4% sebelum ini. Perubahan ini diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026.
Penduduk Tetap (PR) Malaysia dikecualikan daripada kadar 8% dan terus menggunakan kadar berperingkat 1% hingga 4%.
Kriteria kelayakan untuk pengecualian duti setem
Kerajaan memberikan pengecualian penuh duti setem MOT dan perjanjian pinjaman kepada pembeli rumah pertama yang layak. Syaratnya seperti berikut:
- Warganegara Malaysia. Pengecualian ini terbuka kepada warganegara sahaja, bukan PR atau warga asing.
- Pembeli rumah pertama. Anda tidak boleh pernah memiliki sebarang hartanah kediaman sebelum ini.
- Hartanah kediaman. Terpakai untuk rumah teres, apartmen, kondominium dan hartanah kediaman yang lain.
- Julat harga. Nilai hartanah mestilah RM500,000 dan ke bawah.
- Tempoh pembelian. Perjanjian Jual Beli (SPA) mesti ditandatangani antara 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, susulan lanjutan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Satu perkara yang sering terlepas pandang: pengecualian ini perlu dituntut, bukan automatik. Peguam anda yang akan memfailkannya semasa proses setem, jadi maklumkan status pembeli kali pertama anda dari awal.
Perubahan sistem: duti setem kini ditaksir sendiri
Mulai 1 Januari 2026, LHDN memperkenalkan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) menerusi modul e-Duti Setem di portal MyTax. Tanggungjawab mengira dan mengisytiharkan duti kini terletak pada pembayar duti, bukan lagi LHDN.
Pelaksanaannya berperingkat. Dokumen pindah milik hartanah seperti MOT hanya masuk Fasa 2 pada 1 Januari 2027, jadi urus niaga tahun ini masih mengikut kaedah taksiran rasmi. Tempoh 30 hari untuk mengecap dokumen dari tarikh ia ditandatangani kekal sama.

2. Duti Setem Perjanjian Pinjaman
Seterusnya, Duti Setem Perjanjian Pinjaman ialah cukai yang dikenakan ke atas jumlah pinjaman perumahan daripada bank. Ia dikira pada kadar rata 0.5% daripada jumlah pinjaman, tanpa sebarang lapisan berperingkat.
Kadar yang sama terpakai untuk pembiayaan konvensional dan pembiayaan Islam.
Contoh pengiraan bagi pinjaman RM675,000 (90% daripada hartanah berharga RM750,000):
RM675,000 × 0.5% = RM3,375
Digabungkan dengan duti setem MOT sebanyak RM16,500, jumlah duti setem yang perlu disediakan untuk hartanah RM750,000 ialah RM19,875.
Bila ia perlu dibayar?
Perjanjian pinjaman perlu dicap dalam tempoh 30 hari dari tarikh ia ditandatangani. Anda tidak perlu uruskan sendiri, kerana peguam panel bank yang menyediakan dan mengecap dokumen ini.
Kosnya lazimnya ditolak daripada pengeluaran pinjaman pertama, jadi ia tidak semestinya keluar dari poket anda pada hari yang sama dengan deposit. Sahkan dengan peguam anda lebih awal supaya aliran tunai anda tidak tersekat.
Pembeli rumah pertama: RM0
Jika anda layak untuk pengecualian pembeli rumah pertama, pengecualian penuh itu meliputi duti setem MOT dan duti setem perjanjian pinjaman. Syaratnya sama, iaitu warganegara Malaysia, belum pernah memiliki hartanah kediaman, hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah, dan SPA ditandatangani antara 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.

Untuk penerangan lanjut tentang dokumen MOT itu sendiri, baca Memorandum Pemindahan (MOT): Anda Perlu Tahu.
Berapa ansuran bulanan anda selepas semua kos ini?
Duti setem dibayar sekali sahaja, tetapi ansuran pinjaman berjalan 30 tahun. Kira kedua-duanya sebelum anda tandatangan borang tempahan.
Anggaran untuk panduan sahaja. Jumlah sebenar bergantung kepada penilaian bank, kadar semasa dan profil kewangan penuh anda.
3. Cukai Taksiran atau Cukai Pintu
Selain itu, cukai taksiran ialah cukai kerajaan tempatan. Ia dikutip oleh majlis perbandaran untuk membiayai perkhidmatan awam dan penyelenggaraan infrastruktur dalam kawasan anda.
Contohnya penyelenggaraan jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan dan kutipan sampah.
Cukai ini perlu dibayar dua kali setahun, iaitu antara 1 Januari hingga 28 Februari, dan antara 1 Julai hingga 31 Ogos.
Jumlahnya ditentukan oleh nilai sewa tahunan hartanah didarab dengan kadar yang ditetapkan oleh PBT masing-masing. Kadar ini biasanya berkisar antara 2% hingga 9%, bergantung kepada jenis hartanah.
Flat kos rendah lazimnya dikenakan kadar serendah 2%, manakala kediaman mewah boleh mencecah 9%. Kerana kadar ditetapkan oleh setiap PBT, angka di kawasan anda mungkin berbeza, jadi semak portal DBKL, MBPJ, MBSA atau majlis anda untuk kadar rasmi.
Contoh pengiraan cukai taksiran
Nilai sewa tahunan | RM8,000 |
Kadar cukai | 6% |
Cukai taksiran setahun | RM480 |
Ini bermakna kira-kira RM240 setiap setengah tahun. Jumlahnya kecil berbanding ansuran rumah, tetapi tunggakan boleh membawa kepada notis dan tindakan sitaan oleh PBT.

4. Cukai Tanah dan Cukai Petak
Cukai tanah, atau quit rent, dikenakan ke atas pemilik tanah setiap tahun oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian. Ia berbeza daripada cukai taksiran, yang dibayar kepada pihak berkuasa tempatan.
Cukai tanah dikira berdasarkan kadar tetap bagi setiap meter persegi keluasan tanah. Kadar berbeza mengikut negeri, kategori tanah dan lokasi, jadi tiada satu kadar seragam untuk seluruh Malaysia.
Jumlahnya biasanya rendah, selalunya hanya puluhan hingga ratusan ringgit setahun untuk kediaman. Namun kegagalan membayar boleh menyebabkan denda, notis 6A, dan dalam kes ekstrem, rampasan tanah oleh pihak berkuasa negeri.
Pemilik kondominium dan apartmen: apa itu cukai petak?
Dahulu, pemilik unit strata membayar cukai tanah secara pukal melalui badan pengurusan. Ini sudah berubah.
Negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor kini melaksanakan cukai petak, iaitu bil yang dikeluarkan terus kepada pemilik setiap unit atas nama sendiri. Anda bayar sendiri kepada pejabat tanah negeri, bukan melalui yuran penyelenggaraan.
Ini titik yang paling kerap terlepas pandang oleh pemilik kondominium. Jika anda tidak pernah terima bil cukai petak, semak status hartanah anda di portal e-Tanah negeri berkenaan, kerana tunggakan tetap terkumpul walaupun bil tidak sampai ke tangan anda.

5. Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT)
RPGT, atau Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), dikenakan ke atas keuntungan bersih apabila anda menjual hartanah. Ia dikawal di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan ditadbir oleh LHDN.
Kadarnya bergantung kepada dua perkara, iaitu tempoh anda memegang hartanah tersebut dan status anda sebagai penjual.
Kadar RPGT untuk individu warganegara Malaysia dan PR
Tempoh Pemilikan | Kadar RPGT |
|---|---|
Dijual dalam 3 tahun pertama | 30% |
Dijual dalam tahun ke-4 | 20% |
Dijual dalam tahun ke-5 | 15% |
Dijual pada tahun ke-6 dan seterusnya | 0% |
Kadar 0% dari tahun ke-6 ini berkuat kuasa sejak 1 Januari 2022 dan tidak berubah untuk 2026. Jika anda terbaca angka 5% untuk tahun ke-6, itu peraturan lama bagi tempoh 2019 hingga 2021 yang sudah dimansuhkan.
Kadar RPGT untuk syarikat dan penjual bukan warganegara
Tempoh Pemilikan | Syarikat di Malaysia | Bukan warganegara dan syarikat asing |
|---|---|---|
Tahun 1 hingga 3 | 30% | 30% |
Tahun ke-4 | 20% | 30% |
Tahun ke-5 | 15% | 30% |
Tahun ke-6 dan seterusnya | 10% | 10% |
Perhatikan perbezaan penting ini: penjual bukan warganegara tidak pernah turun ke 0%. Lantai 10% kekal walau berapa lama pun hartanah dipegang.
Contoh pengiraan RPGT yang betul
Ramai orang terus darab keuntungan kasar dengan kadar cukai. Itu memberi angka yang terlebih tinggi, kerana ada dua potongan sebelum cukai dikira.
Harga jualan | RM800,000 |
Harga belian | RM700,000 |
Keuntungan kasar | RM100,000 |
Tolak perbelanjaan dibenarkan (yuran guaman, komisen ejen, duti setem, kos ubah suai) | RM30,000 |
Keuntungan selepas perbelanjaan | RM70,000 |
Tolak pengecualian automatik (RM10,000 atau 10% keuntungan, mana lebih tinggi) | RM10,000 |
Keuntungan bercukai | RM60,000 |
Jika dijual dalam 3 tahun pertama, RPGT pada 30% | RM18,000 |
Jika dijual pada tahun ke-6, RPGT pada 0% | RM0 |
Inilah sebabnya simpan setiap resit. Invois ubah suai, resit duti setem, penyata komisen ejen dan bil guaman semuanya menurunkan keuntungan bercukai anda.
Pengecualian RPGT yang anda mungkin layak
- Pengecualian kediaman persendirian sekali seumur hidup. Individu warganegara atau PR boleh menuntut pengecualian penuh ke atas pelupusan satu rumah kediaman, sekali sahaja seumur hidup.
- Pengecualian automatik. RM10,000 atau 10% daripada keuntungan bercukai, mana yang lebih tinggi, untuk individu.
- Pemindahan dalam keluarga. Pemberian antara suami isteri, ibu bapa dan anak, atau datuk nenek dan cucu dianggap tiada keuntungan tiada kerugian, tertakluk kepada syarat LHDN.
Borang dan tempoh masa
Penjual memfailkan Borang CKHT 1A dan pembeli memfailkan CKHT 2A, kedua-duanya dalam tempoh 60 hari dari tarikh pelupusan.
Peguam pembeli akan menahan 3% daripada harga belian sebagai bayaran pendahuluan RPGT, atau 7% jika penjual bukan warganegara. Jumlah ini diremitkan terus kepada LHDN, jadi jangan kira ia sebagai wang tunai yang anda terima pada hari penyelesaian.
Untuk penerangan lanjut tentang CKHT yang lebih teliti, baca Apa Anda Perlu Tahu Mengenai Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).

6. Cukai Pendapatan Sewa
Akhirnya, cukai pendapatan sewa. Ia dikenakan ke atas pendapatan yang anda peroleh daripada menyewakan hartanah, dan dilaporkan di bawah Seksyen 4(d) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Cukai dikira ke atas pendapatan sewa bersih, iaitu sewa diterima selepas ditolak perbelanjaan dibenarkan seperti penyelenggaraan, cukai taksiran, cukai tanah, faedah pinjaman, yuran pengurusan, insurans dan yuran ejen.
Satu perkara yang sering silap: hanya bahagian faedah pinjaman boleh ditolak. Bayaran balik prinsipal gadai janji tidak boleh dituntut. Rujuk penyata faedah tahunan bank anda untuk memisahkan kedua-duanya.
Bagi individu pemastautin, pendapatan sewa bersih digabungkan dengan pendapatan lain dan dikenakan cukai mengikut kadar berperingkat 0% hingga 30%. Individu bukan pemastautin dikenakan kadar rata 30% tanpa pelepasan peribadi.
Jika hartanah dipegang oleh syarikat, pendapatan sewa dikenakan cukai mengikut kadar cukai korporat semasa. PMKS yang layak menikmati kadar lebih rendah bagi lapisan pendapatan pertama, jadi sahkan kedudukan syarikat anda dengan ejen cukai berdaftar.
Adakah sewa kediaman dikenakan SST?
Tidak. Sewaan rumah kediaman seperti rumah teres, apartmen dan kondominium berada di luar skop cukai perkhidmatan, jadi tuan rumah kediaman biasa tidak perlu mengenakan SST ke atas sewa.
Cukai perkhidmatan hanya terpakai kepada sewaan komersial dan industri tertentu, dan hanya selepas penyedia melepasi ambang pendaftaran. Jika hartanah anda komersial, guna campur, atau dipegang melalui syarikat, sahkan kedudukan terkini dengan Kastam sebelum mengeluarkan invois sewa.
Untuk panduan penuh tuan rumah, baca Cukai Pendapatan Sewa: Tips dan Panduan buat Pemilik Hartanah.
Ringkasan: cukai mengikut peringkat pemilikan
Peringkat | Cukai | Dibayar kepada |
|---|---|---|
Semasa membeli | Duti setem MOT, duti setem perjanjian pinjaman | LHDN |
Semasa memiliki | Cukai taksiran | Pihak berkuasa tempatan |
Semasa memiliki | Cukai tanah atau cukai petak | Pejabat Tanah dan Galian negeri |
Semasa menyewakan | Cukai pendapatan sewa | LHDN |
Semasa menjual | RPGT (CKHT) | LHDN |
Kesimpulannya, pemilikan hartanah di Malaysia melibatkan beberapa cukai berbeza yang dibayar kepada tiga pihak berlainan, iaitu LHDN, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Memahami struktur ini membantu anda mengelakkan kos tersembunyi dan merancang kewangan dengan lebih tepat, sama ada anda membeli rumah pertama atau melupuskan hartanah pelaburan.
Soalan Lazim (FAQ)
Apakah perbezaan antara cukai taksiran dan cukai tanah?
Cukai tanah dibayar kepada kerajaan negeri melalui pejabat tanah sebagai bayaran memegang hak milik tanah. Cukai taksiran pula dibayar kepada pihak berkuasa tempatan untuk membiayai perkhidmatan awam seperti kutipan sampah dan penyelenggaraan jalan.
Adakah pemilik apartmen perlu membayar cukai tanah?
Ya. Di negeri yang telah melaksanakan sistem cukai petak seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, bil dikeluarkan terus kepada pemilik setiap unit dan dibayar sendiri kepada pejabat tanah negeri. Ia bukan lagi dikutip secara pukal melalui yuran penyelenggaraan.
Berapa duti setem untuk rumah berharga RM500,000?
Pengiraan biasa ialah RM1,000 untuk RM100,000 pertama dan RM8,000 untuk baki RM400,000, menjadikan jumlahnya RM9,000. Jika anda pembeli rumah pertama yang layak dan SPA ditandatangani antara 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, jumlah yang perlu dibayar ialah RM0.
Adakah warga asing membayar duti setem lebih tinggi di Malaysia?
Ya. Mulai 1 Januari 2026, pembeli bukan warganegara dan syarikat milik asing dikenakan duti setem rata 8% ke atas nilai hartanah kediaman, naik daripada 4% sebelum ini. Penduduk Tetap Malaysia dikecualikan dan kekal menggunakan kadar berperingkat 1% hingga 4%.
Bilakah RPGT menjadi 0%?
Bagi individu warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap, RPGT menjadi 0% jika hartanah dijual pada tahun ke-6 pemilikan dan seterusnya. Penjual bukan warganegara tidak menikmati kadar 0% dan kekal dikenakan 10% selepas tahun ke-5.
Perlukah saya isytihar pendapatan sewa walaupun hanya satu unit?
Ya. Tiada ambang bilangan hartanah dan tiada pengecualian minimum untuk pengisytiharan. Pendapatan sewa perlu dilaporkan kepada LHDN dari unit pertama, walaupun cukai sebenar bergantung kepada pendapatan bersih anda selepas perbelanjaan dibenarkan.
Tidak pasti berapa jumlah cukai untuk rumah yang anda minat?
Anda tidak perlu kira sendiri. Ejen IQI akan semak bajet anda, senaraikan rumah yang benar-benar mampu anda miliki, dan pandu anda dari permohonan pinjaman sehingga terima kunci. Percuma dan tiada tekanan.
Isi maklumat anda dibawah dan ejen hartanah kami akan bantu anda!
[custom_blog_form]
Baca Selanjutnya:
- Memorandum Pemindahan (MOT) – Anda Perlu Tahu!
- Cukai Pendapatan Sewa: Tips dan Panduan buat Pemilik Hartanah
- 8 Tips Penting Sebelum Membeli Rumah Kediaman Diri
Bersedia untuk Mencari Hartanah Sempurna Anda?
IQI Global memahami pasaran hartanah dengan mendalam. Kami bukan sekadar ejen — kami adalah pemandu yang membantu anda memahami potensi pelaburan, manfaat gaya hidup, dan nilai jangka panjang.
Dapatkan Maklumat Eksklusif
Langgan e-mel kami untuk mengetahui tentang pandangan pasaran terkini, berita dan trend hartanah.
Bersedia untuk Mencari Hartanah Sempurna Anda?
IQI Global memahami pasaran hartanah dengan mendalam. Kami bukan sekadar ejen — kami adalah pemandu yang membantu anda memahami potensi pelaburan, manfaat gaya hidup, dan nilai jangka panjang.



